SEJARAH


SEJARAH
SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI TUANG
78300 MASJID TANAH, MELAKA.

LOKASI SEKOLAH
Keadaan fizikalnya 100% berhadapan dengan Laut Selat Melaka. Ini menjadikan pemandangan sekolah ini sangat menarik. Di antara kaki pagar sekolah dengan tebing pantai hanya dipisahkan oleh Jalan Persisiran Pantai dari Pengkalan Balak ke pekan Kuala Sungai Baru. Luas kawasannya 2 ekar, 1 rod dan 2.5 pole. Ia terletak kira-kira 8.5 kilometer dari pekan Masjid Tanah dan 38 kilometer dari bandar Melaka.

PENGASAS SEKOLAH
Sekolah ini didirikan atas inisiatif penduduk kampung. Di antara tenaga penggeraknya adalah tokoh-tokoh tempatan yang terkenal seperti:-
·                    Allahyarham Cikgu Abdul Rahman bin Sheikh Omar
·                    Cikgu Haji Mohd. Taib bin Haji Baba
·                    Allahyarham Dato’ Sidang Othman bin Md. Khir
·                    Allahyarham Tuan Guru Abd. Hamid bin Husin (Hamid Nadir)

SEJARAH AWAL
1.                    Penubuhan sekolah ini melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Kertah, Kampung Sungai Tuang dan Kampung Telok Gong.
2.                    Pada bulan Julai 1952, bangunan sekolah didirikan secara bergotong-royong atas inisiatif penduduk tempatan melalui kutipan dan peruntukan Jabatan Pelajaran Melaka. Bangunan asalnya berbentuk segiempat tepat, dibuat daripada kayu berlantaikan simen dan beratap rumbia yang mengandungi 3 buah bilik darjah iaitu Darjah 1, 2 dan 3 dengan 2 orang guru dan 50 orang murid( 35 orang murid lelaki dan 15 orang murid perempuan). Guru besar pertama ialah Encik Mohd. Taib bin Baba.
3.                    Sebelum sekolah ini didirikan, murid-murid dari tiga buah kampung yang terlibat bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak. Pada tahun 1954, murid-murid yang menumpang di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak kembali semula ke Sekolah Kebangsaan Sungai Tuang yang pada masa itu dikenali sebagai Sekolah Rakyat. Pada tahun 1955, bangunan sekolah ini dirasmikan oleh YAB Encik Ghafar bin Baba, Ketua Menteri Melaka pada masa itu.
4.                    Pada tahun 1957, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Kebangsan Sungai Tuang. Bangunan sekolah ini turut b erubah daripada bangunan kayu, lantai bersimen dan atap rumbia kepada dinding separuh batu serta jaring, lantai bersimen serta atap “ardec”. Walau bagaimanapun, keluasan bilik darjahnya masih sama.
5.                    Pada tahun 1960, kerajaan telah mendirikan  bangunan baru bagi menggantikan bangunan asal sekolah yang telah uzur, iatu mengandungi 3 buah bilik darjah. Sekolah ini mengadakan kelas bercantum.
6.                    Pada tahun 1975, kerajaan mendirikan sebuah lagi bangunan. Ia mengandungi 3 buah bilik darjah, 1 buah bilik guru besar, 1 buah bilik perpustakaan dan tandas. Jumlah murid adalah seramai 158 orang iaitu 87 lelaki dan 71 perempuan.
7.                    Pada 31 Disember 1983, jumlah murid bertambah seramai 182 orang iaitu 95 orang murid lelaki dan 87 orang murid perempuan. Jumlah guru pula ialah seramai 8 orang iaitu 7 orang guru lelaki dan 1 orang guru perempuan. Kategori sekolah ialah “C”.
8.                    Pada tahun 1993, bilangan murid bertambah kepada 234 orang. Jumlah guru pula adalah seramai 13 orang.



FIZIKAL BANGUNAN

1.                  Pada bulan Julai 1952, Sekolah Kebangaan Sungai Tuang mula didirikan. Bangunan asalnya berbentuk sementara.(Bangunan kayu) Ia tidak bertingkat, dibina oleh penduduk tempatan secara gotong-royong. Sumber kewangannya pula didapati melalui derma orang ramai dan sumbangan dari Pejabat Pelajaran Negeri Melaka.
2.                  Pada tahun 1960, kerajaan telah mendirikan bangunan kekal menggantikan bangunan sementara.
3.                  Pada tahun 1975, sebuah lagi bangunan kekal telah didirikan. Sehubungan itu, ia dapat menempatkan 6  buah bilik darjah secara berasingan.
4.                  Pada tahun 1990, sebuah bangunan kekal telah didirikan menggantikan bangunan yang musnah akibat angin puting beliung. Bangunan ini mempunyai 3 buah bilik darjah dan ia dibina melalui projek “Gotong-royong.
5.                  Pada tahun 1991, sebuah lagi bangunan tambahan didirikan melalui projek gotong-royong. Bangunan ini mempunyai 4 buah bilik darjah.
6.                  Sekolah ini mempunyai bilik untuk perpustakaan, bilik guru, kelas pemulihan, kelas pendidikan Pra Sekolah dan juga kantin.

PENGERUSI LEMBAGA PENGURUSAN SEKOLAH (LPS)
1.                  Tarikh ditubuhkan ialah pada tahun 1973. Pengerusi pertamanya ialah Sidang Othman bin Mohd. Khir.
2.                  Seterusnya pengerusi kedua iaitu Encik Ab. Rahman b. Sheikh Omar dilantik sebagai pengerusi seumur hidup.

PENGERUSI PIBG

1.                  Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKST mula ditubuhkan pada tahun 1973. Pengerusi pertamanya juga adalah bekas guru di sekolah ini iaitu Encik Ab. Rahman b. Sheikh Omar yang juga dilantik sebagai pengerusi seumur hidup. Beliau telah berkhidmat selama 15 tahun.
2.                  Pada tahun 1988, pengerusi keduanya ialah Cikgu Ahmad bin Mohd. Sham @ Ab. Rahman.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING

1.                  Pada tahun 1975, sekolah ini telah dirasmikan oleh Encik Ghafar Baba, Ketua Menteri pada masa itu.
2.                  Pada 14 April 1990, bangunan sekolah ini musnah akibat dilanda angin puting beliung.
3.                  Pada 2 November 2002, satu majlis makan malam telah diadakan bersempena dengan Jubli Emas SKST ( 1952 – 2002) dan telah dirasmikan oleh Datuk Haji Mohd. Ali b. Haji Mohd. Rustam, Ketua Menteri Melaka.

SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI TUANG PADA HARI INI

1.                  Bilangan enrolmen muridnya adalah seramai 230 orang sementara jumlah guru adalah 21 orang.
2.                  Murid-murid ini kebanyakannya berasal dari keluarga Melayu persisiran pantai yang berlatarkan pekerjaan nelayan, buruh dan pekerja kilang.

PENUTUP



     Sekolah ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan menarik. Melalui peranan beberapa tokoh yang berdedikasi, sekolah ini berjaya mencapai beberapa kemajuan yang membanggakan dan di luar dugaan.Patah tumbuh hilang berganti. Perjuangan yang telah dimulakan pasti akan diteruskan. Semoga ianya mencapai matlamat yang dicita-citakan dan anak-anak dari sekolah ini menjadi warganegara berguna.